Ringkasan Surah ‘Abasa

Surah ‘Abasa – Dia Memasamkan Muka
Oleh    : Mohd Ridzuan Bin Mohd Taib

Wahai pembaca yang dirahmati Allah sekalian, saya ingin mengajak pembaca sekalian untuk bersama-sama meneliti tafsiran surah yang ke-80 di dalam al-Quran iaitu Surah ‘Abasa. Ia merupakan surah Makiyyah – surah yang telah diturunkan di Makkatul Mukarramah, bandar kelahiran baginda Nabi Muhammad s.a.w. Surah ini mengandungi 42 ayat. Apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah intipati surah ini bagi memberi peringatan dan petunjuk kepada kita sesuai dengan firman Allah:

ذَلِكَ الْكِتَابُ لا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ (٢

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

(Surah al-Baqarah, 2 : 2)

Bahagian I – Neraca Allah Yang Maha Agung (Ayat 1 hingga 16)

Pada permulaan surah ini, Allah telah menerangkan kepada kita hakikat dakwah ini, kemuliaan, keagungan, ketinggian serta sifatnya yang tidak memerlukan sesiapa dan mana-mana sokongan melainkan kepada Allah semata-mata. Saya tertarik untuk membawa pembaca sekalian untuk bersama-sama membuka kembali lembaran sirah baginda di mana baginda telah ditegur dan dikecam oleh Allah atas perbuatan baginda yang memasamkan muka ketika seorang lelaki yang buta dan miskin – Abdullah ibn Ummu Maktum datang dan bertanya kepada baginda:

“Wahai Rasulullah! Bacalah kepadaku dan ajarkanku apa yang telah diajarkan Allah kepadamu.”

Sedangkan baginda pada ketika itu, sedang sibuk melayani pembesar-pembesar Quraisy – ‘Utbah dan Syaibah, kedua-dua anak Rabi’ah, ‘Amr ibn Hisham, ‘Umayyah ibn Khalaf, al-Walid ibn al-Mughirah dan al-‘Abbas ibn Abdul Muttalib. Baginda menyangka dengan berurusan dengan para pembesar Quraisy ini, dakwah Islamiyyah dapat disebarluaskan dengan pesat – suatu tugas penting yang dapat memberikan kebaikan yang banyak kepada dakwah dan agamanya. Lalu, Allah berfirman,

وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّى (٣) أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنْفَعَهُ الذِّكْرَى (٤

Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui (tujuannya, Wahai Muhammad) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.

(Surah ‘Abasa, 80 : 3 – 4)

Di sinilah yang hendak diperlihatkan oleh Allah bahawa pentingnya segala neraca pertimbangan disandarkan hanya semata-mata kepada neraca pertimbangan langit bukannya kepada neraca dunia – kedudukan, harta benda atau darjat. Betapa pentingnya segala pertimbangan disandarkan kepada neraca langit dalam mempertimbangkan segala nilai dan perhitungan dalam membuat keputusan. Firman Allah:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ … (١٣

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).

(Surah al-Hujurat, 49 : 13)

Orang yang bertaqwa di sini adalah orang yang meletakkan neraca langit sebagai neraca pertimbangan bagi segala nilai dan keputusan yang hendak dibuat. Neraca langit terus menerus mengangkat ahli at-Taqwa walaupun mereka tidak mempunyai sebarang nilai bumi.

Satu perkara lagi yang begitu ditekankan melalui penurunan surah ini adalah sifat dakwah Islamiyyah itu sendiri. Dakwah ini perlulah diberi perhatian kepada orang mahukannya kerana dirinya sendiri, tanpa mengambil kira apakah kedudukan atau pangkat yang lebih kepada pertimbangan neraca dunia. Kisah Abdullah ibn Ummu Maktum adalah contoh yang dapat kita perhatikan dengan jelas. Harapan Islam kini hanya terletak pada dakwah Islamiyyah agar menyelamatkan umat manusia kini daripada jahiliyyah buat kali keduanya dan berusaha untuk mempersiapkan manusia yang sekental dan sehebat generasi sahabat radhiallahu ‘anhum.

Selain itu, Allah turut menyatakan bahawa al-Quran sebagai suatu peringatan dan betapa mulianya kedudukan al-Quran itu sendiri. Dengan kemuliaan pada setiap lembaran al-Quran itu, maka ia menjadi suatu bukti yang tepat untuk dikatakan neraca langit yang Maha Benar lagi Sohih. Segala pertimbangan ahli at-Taqwa perlulah disandarkan kepada al-Quran yang lain tidak bukan datangnya daripada Allah yang Maha Bijaksana dalam mengatur seluruh kehidupan manusia.

Bahagian II(a) – Keingkaran dan Kekufuran Manusia (Ayat 17 hingga 23)

Setelah hakikat agung diketengahkan dalam bahagian pertama, bahagian kedua pula memperihalkan tentang kehairanan terhadap manusia yang enggan menerima hidayah, menolak keimanan dan memandang rendah kepada dakwah kepada Allah. Allah s.w.t. telah melakarkan rasa hairan dengan kekufuran manusia yang melupakan asal usul kejadiannya dan tidak nampak segala kekuasaan Allah kepada segenap alam ciptaan-Nya. Sehinggakan Allah memberi kecaman kepada orang-orang yang demikian melalui firman-Nya:

قُتِلَ الإنْسَانُ مَا أَكْفَرَهُ (١٧

Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya?

(Surah ‘Abasa, 80 : 17)

Di dalam surah ‘Abasa ini, Allah telah menyatakan hakikat penciptaan manusia yang sangat rendah dan kerdil – air mani yang hina. Namun, hakikat diri manusia yang lalai dan leka tidak memikirkan tujuan dan hakikat penciptaan dirinya sebagai manusia. Firman Allah:

خَلَقَ الإنْسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُبِينٌ (٤

Ia menciptakan manusia dari air mani, (setelah sempurna kejadiannya), tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya.

(Surah an-Nah, 16 : 4)

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (٢١

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.

(Surah al-Baqarah, 2 : 21)

Di dalam bahagian kedua surah ‘Abasa ini juga diterangkan kepada kita bahawa manusia telah dibantu oleh Allah dengan cara memudahkan jalan hidup dan jalan hidayah bersesuaian dengan kemampuan seseorang manusia itu. Firmah Allah:

ثُمَّ السَّبِيلَ يَسَّرَهُ (٢٠

Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang ia pilih).

(Surah ‘Abasa, 80 : 20)

Tugas menghidupkan dan mematikan adalah tugas Allah selaku pencipta dan pentadbir alam-Nya. Justeru, layaklah Allah jua yang menghidupkan dan mematikan segala makhluk ciptaan termasuklah kita manusia. Segalanya berada di dalam genggaman Allah tanpa ada sesuatupun yang terlepas. Sehinggalah sampai suatu masa, Allah akan mengembalikan semula nyawa kepada kita untuk dibangkitkan semula bagi tujuan penghisaban. Tidakkah kita berasa malu jika kita tampil di hadapan Allah dengan keadaan penuh dosa dan noda? Sebagai peringatan untuk kita bersama – manusia sebenarnya sering leka daripada melaksanakan tugas kita untuk mempersiapkan diri menuju kematian.

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ (٢١)ثُمَّ إِذَا شَاءَ أَنْشَرَهُ (٢٢)كَلا لَمَّا يَقْضِ مَا أَمَرَهُ (٢٣

Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan; Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula). Janganlah hendaknya ia kufur ingkar lagi! Sebenarnya ia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya.

(Surah ‘Abasa, 80 : 21-23)

Bahagian II(b) – Pentadbiran Allah Terhadap Alam Ciptaan-Nya (Ayat 24 hingga 32)

Dalam bahagian kedua ini, Allah juga cuba menceritakan kepada kita hakikat bagaimana Allah s.w.t. yang Maha Bijaksana mentadbir alam ciptaan-Nya. Tidakkah kita melihat bahawa Allah telah melimpahkan rahmat makanan di atas muka bumi ini? Ini adalah salah satu lagi perkara yang dimudahkan untuk manusia. Siraman hujan, tumbuh-tumbuhan yang tumbuh membelahi bumi, biji-bijian, sayur-sayuran, zaitun dan pohon-pohon kurma, taman-taman yang menghijau subur, buah-buahan serta berbagai-bagai rumput adalah semua ciptaan Allah khas untuk kegunaan manusia dan binatang ternakan. Betapa hebatnya alam ciptaan-Nya yang telah ditadbir dengan Maha Bijaksana, namun masih ada lagi manusia yang kufur dan ingkar kepada Allah, na’uzubillah.

فَلْيَنْظُرِ الإنْسَانُ إِلَى طَعَامِهِ (٢٤)أَنَّا صَبَبْنَا الْمَاءَ صَبًّا (٢٥)ثُمَّ شَقَقْنَا الأرْضَ شَقًّا (٢٦)فَأَنْبَتْنَا فِيهَا حَبًّا (٢٧)وَعِنَبًا وَقَضْبًا (٢٨)وَزَيْتُونًا وَنَخْلا (٢٩)وَحَدَائِقَ غُلْبًا (٣٠)وَفَاكِهَةً وَأَبًّا (٣١)مَتَاعًا لَكُمْ وَلأنْعَامِكُمْ (٣٢

(Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana Kami mentadbirkannya): Sesungguhnya Kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian Kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan, – Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, Dan buah anggur serta sayur-sayuran, Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, Dan taman-taman yang menghijau subur, Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, – Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.

(Surah ‘Abasa, 80 : 24-32)

Bahagian III – Hari Kiamat Yang Dahsyat (Ayat 33 hingga 42)

Di bahagian ketiga ini, Allah hendak menarik perhatian kita tentang kedahsyatan hari kiamat. Begitu dahsyatnya hari tersebut sehinggakan digambarkan bahawa kita akan bertempiaran lari tanpa mempedulikan saudaranya, ibu dan bapanya serta isteri dan anak-anaknya. Semua orang sibuk dengan urusan masing-masing tanpa mempedulikan hubungan dan tali persaudaraan yang terikat kuat selama ini.

فَإِذَا جَاءَتِ الصَّاخَّةُ (٣٣)يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ (٣٤)وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ (٣٥)وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ (٣٦)لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ (٣٧)

Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat, -Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, Dan ibunya serta bapanya,Dan isterinya serta anak-anaknya; – Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.

(Surah ‘Abasa, 80 : 33-37)

Namun, pada ketika kesibukan dan kekalutan itu, orang-orang beriman dan bertaqwa digambarkan berada dalam keadaan berseri-seri, bercahaya, riang, ketawa dan gembira. Mereka menaruh harapan kepada Allah dan tenang kerana merasai keredhaan Allah s.w.t. dan selepas mengetahui kedudukan mereka, mereka melonjak kegembiraan setelah melalui detik kiamat yang menakutkan.

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ مُسْفِرَةٌ (٣٨)ضَاحِكَةٌ مُسْتَبْشِرَةٌ (٣٩)

Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, tertawa, lagi bersuka ria;

(Surah ‘Abasa, 80 : 38-39)

Di sebalik itu, orang-orang kafir pula diselubungi kesedihan dan kekesalan kerana setiap peluang di dunia dahulu disia-siakan. Mereka dibayangi kesugulan dan kegelisahan kerana pelbagai jenis hukuman dan azab bakal menanti mereka.

وَوُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ عَلَيْهَا غَبَرَةٌ (٤٠)تَرْهَقُهَا قَتَرَةٌ (٤١)أُولَئِكَ هُمُ الْكَفَرَةُ الْفَجَرَةُ (٤٢)

Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. -Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka.

(Surah ‘Abasa, 80 : 40-42)

R_ALKINDY

Mohd Ridzuan Bin Mohd Taib
Ahli PEMBINA Terengganu (Kuala Terengganu)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: